ahli syurga, insyaAllah :)

Thursday 31 January 2013

All about Niqab~

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum. 





This is for renungan bersama utk para niqabis yg tidak dapat fulltime. Allah memahami hambaNya. :)


Purdah itu tiada kena mengena dengan islam dan tidak wajib dipraktikkan lagi. Ini adalah satu jawapan kepada syubhat dan fitnah yang timbul mendakwa purdah/niqab/menutup wajah tiada kaitan dengan Islam. Bacalah dan telitilah. Dan jangan menelan bulat-bulat kata-kata ini. Sesungguhnya kebenaran lebih kita cintai, Berhati-hati! Jangan kita menjadi penghina pakaian yang dipakai oleh ibu-ibu wanita beriman iaitu isteri-isteri Rasulullah SAW.


Dalam masalah ini, para ulama berbeza pendapat. Sebahagian mengatakan wajib, yang lain menyatakan tidak wajib, namun merupakan keutamaan. Maka di sini -insya Allah- akan kami sampaikan hujjah masing-masing pendapat itu, sehingga masing-masing pihak dapat mengetahui hujjah (argumen) pihak yang lain, agar saling memahami pendapat yang lain.


DALIL YANG MEWAJIBKAN Pemakaian PURDAH


1. Firman Allah subhanahu wa ta'la ; وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ “Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka.” (QS. An Nur: 31) Allah ta'ala memerintahkan wanita mukmin untuk memelihara kemaluan mereka, hal itu juga mencakupi perintah melakukan jalan-jalan untuk memelihara kemaluan. Ini kerana menutup wajah termasuk jalan untuk memelihara kemaluan, maka juga diperintahkan, kerana jalan/wasilah memiliki hukum tujuan. (Lihat Risalah Al-Hijab, hal 7, karya Syaikh Muhammad bin Shalih Al-'Utsaimin, penerbit Darul Qasim). 

2. Firman Allah subhanahu wa ta'ala ; وَلاَ يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripada mereka.” (QS. An Nur: 31) Ibnu Mas'ud berkata tentang perhiasan yang (biasa) nampak daripada wanita: "(iaitu) pakaian" (Riwayat Ibnu Jarir, dishahihkan oleh Syaikh Mushthafa Al Adawi, Jami’ Ahkamin Nisa' IV/486). Dengan demikian yang boleh nampak daripada wanita hanyalah pakaian, kerana memang tidak mungkin disembunyikan.

 3. Firman Allah subhanahu wa ta’ala ; وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
“Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada (dan leher) mereka.” (QS. An Nur: 31) Berdasarkan ayat ini wanita wajib menutupi dada dan lehernya, maka menutup wajah lebih wajib! Ini kerana wajah adalah tempat kecantikan dan godaan. Bagaimana mungkin agama yang bijaksana ini memerintahkan wanita menutupi dada dan lehernya, tetapi membolehkan membuka wajah? (Lihat Risalah Al-Hijab, hal 7-8, karya Syaikh Muhammad bin Shalih Al-'Utsaimin, penerbit Darul Qasim).


 4. Firman Allah subhanahu wa ta’ala: وَلاَ يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَايُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ “Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.” (QS. An Nur: 31) Firman Allah subhanahu wa ta’ala: Allah melarang wanita menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasannya yang dia sembunyikan, seperti gelang kaki dan sebagainya. Hal ini kerana dikhuatiri lelaki akan tergoda gara-gara mendengar bunyi gelang kakinya atau semacamnya. Maka godaan yang ditimbulkan kerana memandang wajah wanita cantik, apalagi yang dihias, lebih besar daripada sekadar mendengar suara gelang kaki wanita. Sehingga wajah wanita lebih wajar untuk ditutup untuk menghindari kemaksiatan. (Lihat Risalah Al-Hijab, hal 9, karya Syaikh Muhammad bin Shalih Al 'Utsaimin, penerbit Darul Qasim)


5. Firman Allah subhanahu wa ta'ala; وَالْقَوَاعِدُ مِنَ النِّسَآءِ اللاَّتِي لاَيَرْجُونَ نِكَاحًا فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَن يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ مُتَبَرِّجَاتٍ بِزِينَةٍ وَأَن يَسْتَعْفِفْنَ خَيْرٌ لَّهُنَّ وَاللهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ “Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (daripada haid dan mengandung) yang tiada ingin khawin (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan, dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (QS. An Nur: 60) Wanita-wanita tua dan tidak ingin kahwin lagi ini diperbolehkan menanggalkan pakaian mereka. Ini bukan bererti mereka kemudian telanjang. Tetapi yang dimaksud dengan pakaian di sini adalah pakaian yang menutupi seluruh badan, pakaian yang dipakai di atas baju, yang baju wanita umumnya tidak menutupi wajah dan telapak tangan.Ini bererti wanita-wanita muda dan berkeinginan untuk kahwin mesti menutupi wajah mereka. (Lihat Risalah Al-Hijab, hal 10, karya Syaikh Muhammad bin Shalih Al 'Utsaimin, penerbit Darul Qasim). Abdullah bin Mas'ud dan Ibnu Abbas berkata tentang firman Allah "Tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka." (QS An Nur:60): "(Iaitu) jilbab". (Kedua riwayat ini dishahihkan oleh Syaikh Mushthafa Al-Adawi di dalam Jami' Ahkamin Nisa IV/523) Dari 'Ashim Al-Ahwal, dia berkata: "Kami menemui Hafshah binti Sirin, dan dia telah mengenakan jilbab seperti ini, iaitu dia menutupi wajah dengannya. Maka kami mengatakan kepadanya: "Semoga Allah merahmati anda, Allah telah berfirman, وَالْقَوَاعِدُ مِنَ النِّسَآءِ الاَّتِي لاَيَرْجُونَ نِكَاحًا فَلَيْسَ نَّعَلَيْهِ جُنَاحٌ أَن يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ مُتَبَرِّجَاتٍ بِزِينَةٍ "Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (daripada haid dan mengandung) yang tiada ingin kahwin (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan.” (QS. An-Nur: 60) Yang dimaksud adalah jilbab. Dia berkata kepada kami: "Apa firman Allah setelah itu?" Kami menjawab: وَأَن يَسْتَعْفِفْنَ خَيْرٌ لَّهُنَّ وَاللهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ "Dan jika mereka berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha .” (QS. An-Nur: 60) Dia mengatakan, "Ini menetapkan jilbab." (Riwayat Al-Baihaqi. Lihat Jami' Ahkamin Nisa(IV/524)


 6. Firman Allah subhanahu wa ta'ala ; غَيْرَ مُتَبَرِّجَاتٍ بِزِينَةٍ “Dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan.” (QS. An-Nur: 60) Ini bererti wanita muda wajib menutup wajahnya, kerana kebanyakan wanita muda yang membuka wajahnya, berkehendak menampakkan perhiasan dan kecantikan, agar dilihat dan dipuji oleh lelaki. Wanita yang tidak berkehendak seperti itu jarang, sedang perkara yang jarang tidak dapat dijadikan sandaran hukum. (Lihat Risalah Al-Hijab, hal 11, karya Syaikh Muhammad bin Shalih Al- 'Utsaimin, penerbit: Darul Qasim). 


7. Firman Allah subhanahu wa ta’ala: يَآأَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلاَبِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَن يُعْرَفْنَ فَلاَ يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللهُ غَفُورًا رَّحِيمًا “Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu’min: “Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke tubuh mereka.” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. Al Ahzab: 59) Diriwayatkan bahawa Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhu berkata, "Allah memerintahkan kepada isteri-isteri kaum mukminin, jika mereka keluar rumah kerana suatu keperluan, hendaklah mereka menutupi wajah mereka dengan jilbab daripada kepala mereka. Mereka dapat menampakkan satu mata saja." (Syaikh Mushthafa Al-Adawi menyatakan bahawa perawi riwayat ini dari Ibnu Abbas adalah Ali bin Abi Thalhah yang tidak mendengar dari ibnu Abbas. Lihat Jami' Ahkamin Nisa IV/513) Qatadah berkata tentang firman Allah ini (QS. Al Ahzab: 59), "Allah memerintahkan para wanita, jika mereka keluar (rumah) agar menutupi alis mereka, sehingga mereka mudah dikenali dan tidak diganggu." (Riwayat Ibnu Jarir, dihasankan oleh Syaikh Mushthafa Al-Adawi di dalam Jami' Ahkamin Nisa IV/514) Diriwayatkan Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhu berkata, "Wanita itu menghulurkan jilbabnya ke wajahnya, tetapi tidak menutupinya." (Riwayat Abu Dawud, Syaikh Mushthafa Al-Adawi menyatakan: Hasan Shahih. Lihat Jami' Ahkamin Nisa IV/514) Abu 'Ubaidah As-Salmani dan lainnya mempraktikkan cara menghulurkan jilbab itu dengan selendangnya, iaitu menjadikannya sebagai kerudung, lalu dia menutupi hidung dan matanya sebelah kiri, dan menampakkan matanya sebelah kanan. Lalu dia menghulurkan selendangnya dari atas (kepala) sehingga dekat ke alisnya, atau di atas alis. (Riwayat Ibnu Jarir, dishahihkan oleh Syaikh Mushthafa Al-Adawi di dalam Jami' Ahkamin Nisa IV/513) As-Suyuthi berkata, "Ayat hijab ini berlaku bagi seluruh wanita, di dalam ayat ini terdapat dalil kewajipan menutup kepala dan wajah bagi wanita." (Lihat Hirasah Al-Fadhilah, hal 51, karya Syaikh Bakar bin Abu Zaid, penerbit Darul 'Ashimah).


Manakala bagi hadis pula:



Dalil yang paling banyak dibentang dalam mana-mana buku tentang AURAT WANITA ialah hadis riwayat Saidatina Aishah bahawa Nabi bersabda kepada Saidatina Asma’, “Wanita apabila sudah baligh seluruh tubuhnya adalah aurat kecuali ini dan ini". (Rasulullah s.a.w menunjukkan muka dan tangan).
Setelah berbincang, kami berpendapat seperti berikut: Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud, oleh yang demikian kami rujuk kitab hadis Abu Daud dan mendapati bahawa Abu Daud mengatakan bahawa hadis ini mursal iaitu terputus sanadnnya, oleh yang demikian, tidak dapat dipastikan kesahihannya. Ini adalah kerana Khalid bin Duraik dikatakan tidak berjumpa dengan Saidatina Aishah r.ha. Oleh yang demikian, hadis ini tidak dapat menyangkal ayat al-Qur’an yang ditafsirkan oleh Ibnu Abbas dan tidak pula bertentangan dengannya. Ini adalah kerana tidak dapat dipastikan kesahihannya kerana Abu Daud sendiri yang meriwayatkannya dan tidak pasti kesahihannya.



Dalil yang mengatakan seorang wanita telah menemui Rasulullah s.a.w semasa ihram untuk bertanyakan soalan, kemudian Fudhail bin Abbas melihat wanita itu. Rasulullah memusingkan wajah Fudhail ke arah lain supaya tidak memandang wanita itu. Ini adalah kerana wanita itu tidak memakai purdah. (Pertikaiannya ialah Rasulullah tidak mengarahkan wanita itu berpurdah sebaliknya hanya memusingkan wajah Fudhail)
Kami berpendapat seperti berikut: Hadis ini dipertikaikan oleh ulama’ yang menghukum tidak perlu menutup muka ialah kerana Rasulullah tidak memerintahkan wanita itu menutup muka sebaliknya hanya menolehkan wajah sahabatnya Fudhail. Manakala menurut ulama’ yang menghukum wajib menutup wajah mengatakan bahawa ini berlaku ketika ihram. Sebagaimana kewajipan memakai purdah adalah terkecuali ketika solat dan ihram, maka wanita ini tidak wajib berpurdah kerana sedang berihram. Sebab
itu, Rasulullah hanya menolehkan muka sahabatnya dan tidak memerintahkan wanita itu menutup mukanya. Oleh yang demikian kedua-duanya mempunyai hujah yang seimbang. Wallahua’lam.




Dalil ketiga ialah selepas menunaikan Solat Hari Raya, Rasulullah berkhutbah, seorang wanita bangun dan bertanya soalan kepada Rasulullah, dalam hadis ini menyatakan bahawa wanita itu wajahnya kemerah-merahan. (pertikaiannya, Rasulullah tidak menyuruh wanita itu berpurdah, sebaliknya hanya menjawab soalannya)




Kami berpendapat seperti berikut: Hadis ini menjadi hujah bagi yang mengatakan pemakaian purdah tidak wajib kerana wajah wanita yang berdiri itu kemerah-merahan, oleh yang demikian ia jelas terbukti wajahnya kelihatan. Namun pendapat ini dipertikaikan oleh ulama-ulama’ yang menghukum wajibnya purdah kerana hadis ini tidak tercatatkan bila, oleh itu terdapat kemungkinan ia berlaku pada solat hari raya antara tahun-tahun sebelum tahun kelima hijrah. Ini adalah kerana kewajipan menutup aurat diperintahkan pada tahun kelima hijrah sedangkan kewajipan solat hari raya pada tahun kedua atau ketiga hijrah. Selain itu, wanita ini juga berkemungkinan telah tua bangka kerana wanita yang telah menopause atau tiada berkeinginan berkahwin diizinkan menanggalkan purdahnya berdasarkan ayat al-Qur’an Surah an-Nur ayat ke-60. Oleh itu kedua-dua hujah adalah seimbang. Wallahua’lam.


Kesimpulannya, kami berpegang pada aurat wanita yang wajib ditutup adalah seluruh tubuh kecuali mata di hadapan lelaki ajnabi kecuali ketika solat dan ihram.



Oleh yang demikian tiada pertikaian mengenai menutup dahi atau tidak dan memakai sarung tangan atau tidak. Bagi yang berpegang pada sunat, perlulah berdasarkan dalil yang rajih yang telah dikaji begitu juga bagi yang berpegang pada wajib perlulah didasari kajian dan penelitian dalil yang adil dan bukan ikut-ikutan.


Bagi mereka yang berpegang pada wajib, namun tidak mendapat restu ibu bapa. Wajib berpurdah kerana kita bertanggungjawab pada Allah bukan pada manusia. Walaupun ibu kita menangis dan memulaukan kita. Kita wajib taat pada Allah. Tidak ada ketaatan pada ibu bapa di atas perkara-perkara maksiat. Adalah kemaksiatan bagi seorang ibu menyuruh anaknya menanggalkan purdah sedangkan anaknya berhukum pada wajib berdasarkan dalil yang paling rajih yang telah dikajinya. Oleh yang demikian seseorang itu tidak boleh dipaksa untuk meninggalkan mazhab pegangannya.



 Jika dia berpegang pada wajib memakai purdah, maka tiada sesiapa boleh menghalang atau mengatakan ia wahabi atau ekstremis (berlebih-lebihan). Ini adalah kerana setiap orang ada mazhabnya sendiri dalam Fiqh, dan oleh itu tidak boleh mengatakan orang salah atau menuduh sembarangan atau menuduh orang lain berlebihan hanya kerana ORANG LAIN YANG BERBEZA PANDANGAN sedangkan dia telah mengkaji tentang hukum tersebut. 


Maka, wajib atau sunat itu pendapatnya. Begitu juga apabila seseorang itu telah mengkaji bersungguh-sungguh tentang hukum purdah dan menghukum ia sebagai sunat, maka tiada sesiapa boleh memaksanya. Ini hanya dalam hal jika ia TELAH MENGKAJI DAN MENDALAMI ILMU MENGENAINYA.